PELARI pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi tampil membuat penjelasan berhubung persoalan mengenai mengapa dia masih belum dapat menyamai rekod 100 meter (m) kebangsaan 10.09 saat (s) miliknya meskipun sudah berkelana ke Amerika Syarikat (AS).
Atlet berusia 20 tahun itu berkata, keputusannya berhijrah ke Amerika bukanlah disebabkan menjalani latihan sepenuh masa memandangkan dia turut menyambung pengajian di Universiti Auburn, Alabama.
Azeem turut menjelaskan, 2024 merupakan tahun keduanya di AS dan perlu menyesuaikan diri dengan perubahan rejim latihan serta suasana pasukan selain pengajiannya yang sudah memasuki semester keempat.
“Pertama sekali, saya mahu membuat penjelasan ringkas. Mungkin ramai yang menganggap saya dihantar ke AS untuk berlatih sepenuh masa, tetapi itu adalah jauh sama sekali kerana saya berkelana untuk menyambung pelajaran dan latihan.
“Secara dasarnya, saya adalah seorang atlet pelajar yang perlu berikan komitmen kepada universiti 100 peratus. Tahun ini adalah tahun peralihan untuk saya sesuaikan diri dengan latihan kerana pasukan kali ini lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya.
Bagaimanapun, Azeem enggan menjadikan perkara itu sebagai alasan kerana dia percaya setiap orang mampu melakar kejayaan sekiranya bijak membahagikan masa untuk menjalani latihan dan menelaah pelajaran.
“Pengajian saya juga sudah memasuki semester keempat, jadi ia semakin berat untuk saya tetapi itu tidak boleh dijadikan sebagai alasan kerana ia perlu dihadapi apabila bergelar sebagai seorang pelajar.
“Apa yang paling penting adalah saya mahu letakkan nama Malaysia di persada dunia. Selain itu, saya merupakan satu-satunya pelari Malaysia yang bersaing dalam Divisyen 1 NCAA (Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan),” ujarnya.