fbpx

Olimpik Paris: Atlet Nigeria pinjam basikal pasukan Jerman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UKPESEREYE menggunakan basikal yang dipinjamkan dari pasukan Jerman ekoran hanya menerima notis saat akhir untuk menyertai acara keirin dan pecut. - AFP

PARIS – Semangat kesukanan yang cukup tinggi dapat disaksikan pada Sukan Olimpik Paris 2024 apabila skuad berbasikal Jerman meminjamkan basikal kepada atlet Nigeria, Ese Ukpeseraye yang beraksi dalam acara pecut dan keirin.

Ukpeseraye menganggap dia berada dalam situasi sukar apabila tidak memiliki basikal untuk turun beraksi memandangkan mereka perlu menggantikan pasukan yang menarik diri pada saat akhir.

Bagaimanapun, atlet berusia 25 tahun itu menganggap skuad berbasikal Jerman sebagai penyelamat apabila meminjamkannya sebuah basikal bagi membolehkan dia untuk turun bertanding dalam acara disertai.

“Ekoran notis saat akhir yang memaklumkan saya layak beraksi dalam acara keirin dan pecut, pasukan Nigeria tidak sempat untuk menyediakan basikal, jadi saya datang ke sini tanpa sebarang basikal.

“Bagaimanapun, atas dasar semangat kesukanan, pasukan Jerman datang dan menjadi penyelamat apabila menawarkan basikal untuk dipinjam. Saya berterima kasih kepada mereka atas bantuan yang diberikan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Sukan Nigeria, John Enoh menjelaskan, situasi itu berlaku kerana mereka hanya mendapat keputusan beraksi di Olimpik Paris pada saat akhir sehingga menyebabkan Nigeria terlambat mendapatkan basikal.

“Saya terpaksa bercakap mengenai perkara ini kerana ramai pihak sudah salah faham, jadi saya mahu memberikan penjelasan. Kami tidak sempat untuk menyediakan basikal kerana ia perlu ditempah dan mungkin mengambil masa berbulan-bulan,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI