SABAK BERNAM – Sesi pertemuan khas akan diadakan antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Tesla Inc. (Tesla) pada 22 Ogos ini.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perjumpaan itu adalah bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung dakwaan pembatalan perancangan membangunkan kilang di Asia Tenggara termasuk negara ini.
Menurut beliau, pertemuan itu dianggap penting bagi membolehkan pihaknya mendapat pengesahan daripada Tesla yang belum membuat kenyataan rasmi setakat ini.
“Maklumat atau dakwaan mengenai perkara itu (pembatalan kilang) hanya didengar daripada pihak ketiga.
“Justeru, kita akan menemui pihak pengurusan Tesla dari Amerika Syarikat yang dijadualkan berlangsung di Ibu Pejabat MITI pada 22 Ogos ini,” katanya selepas merasmikan Mini MITIday dan Majlis Pecah Tanah Dewan Serbaguna Terbuka Kampung Angkat Madani di Sungai Air Tawar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul memaklumkan, pembatalan itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan Malaysia sebagai salah satu hab EV di rantau ini.
“Selain itu, Tesla sebelum ini juga tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang mereka di Malaysia. Sebarang kenyataan rasmi mengenai hasil pertemuan itu akan dikeluarkan selepas mendapat persetujuan bersama kerana ia melibatkan isu dalaman syarikat tersebut,” katanya.