PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) akan menyegerakan pengaktifan mesin juruwang automatik (ATM) bagi memenuhi keperluan penduduk setempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
MOF dalam kenyataan berkata, pihaknya telah selesai mengadakan perbincangan dengan beberapa bank tempatan dalam usaha menyediakan perkhidmatan ATM di DUN berkenaan.
Jelasnya, perbincangan bersama beberapa pihak bank itu juga turut mendapat respon positif.
“Pengaktifan perkhidmatan ATM ini akan disegerakan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat dan usaha ini akan diperluas bagi memastikan semua rakyat dapat menerima kemudahan asas ini.
“MOF juga akan mengadakan sesi libat urus dengan bank-bank tempatan secara berterusan bagi mengenalpasti penambahbaikan yang boleh dilaksanakan terutama dalam memastikan akses kepada perkhidmatan ini dapat diperluaskan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kementerian itu berkata, pihaknya juga akan mengadakan sesi libat urus dengan bank-bank tempatan secara berterusan bagi mengenalpasti penambahbaikan yang boleh dilaksanakan terutama dalam memastikan akses kepada perkhidmatan ini dapat diperluaskan.
“Orang ramai yang menghadapi kesukaran seumpama ini di kawasan mereka boleh menghubungi MOF melalui [email protected] atau talian 03-8000 8000,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan, kesukaran penduduk DUN Nenggiri untuk mendapatkan akses mesin ATM dan perlu ke Gua Musang yang terletak sejauh 50 kilometer dari kawasan mereka. – KOSMO! ONLINE