KUALA TERENGGANU – Mayat pelumba jet ski profesional yang terjatuh di Sungai Terengganu berhampiran Taman Taman Islam di sini semalam ditemui sebentar tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor, berkata, mayat Abdullah A. Mubin, 44, ditemui kira-kira pukul 9.28 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak kira-kira 500 meter dari pos kawalan operasi.
“Mayat mangsa yang juga mekanik telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk tindakan lanjut. Operasi SAR sejak semalam telah disertai 80 pegawai dan anggota pelbagai agensi serta orang awam,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan Abdullah dikhuatiri lemas selepas dia tenggelam di dalam Sungai Terengganu setelah jet ski yang sedang diujinya tiba-tiba terbalik.
Sebelum insiden pada pukul 8 pagi itu, mangsa dikatakan cuba menguji jet ski tersebut sebagai persediaan menyertai pertandingan jet ski antarabangsa di Thailand. – KOSMO! ONLINE