KUALA LUMPUR – Selepas lima tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi dan usahawan Sufie Rashid mendedahkan bakal menimang cahaya mata perempuan.
Ujar Sufie nama sebenarnya Muhammad Sufian Rashid, 33, isterinya Nurulain Md. Yusof kini sedang hamil anak perempuan dan usia kandungan sudah memasuki enam bulan dan dijangka bakal melahirkan November depan.
“Alhamdulillah, sekarang isteri tengah hamil enam bulan dan bayi dalam perut ini adalah bayi perempuan.
“Syukur rezeki Allah ini hadir ketika kami sudah betul bersedia terutamanya dari faktor kewangan dan ekonomi.
“Lebih istimewa ini adalah bayi dari London ketika kami bercuti di Eropah dan saat itu saya beritahu Ain saya sudah bersedia,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis Gender Reveal bayi sulungnya itu di Zebra Square, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Dalam pada itu, teruja untuk menyambut kelahiran, isterinya Ain mengakui sudah bersedia bergelar ibu.
“Syukur sangat dan betullah kata orang anak itu membawa rezeki dan kami dikurniakan rezeki ketika kami sudah betul-betul bersedia.
“Kalau nak tahu yang banyak mengidam sebenarnya Sufie dan dia juga ‘cranky’ sebaik saya hamil.
“Dia juga teruja bila setiap malam akan ambil baju baby dan susun serta tenung sambil senyum-senyum,” kongsinya.
Dalam pada itu, Sufie memberitahu bakal terbang ke Jerman untuk merealisasikan hasrat isterinya yang mengidam untuk menonton konsert penyanyi terkenal Hollywood, Adele.
“Sebenarnya esok saya dan isteri akan berlepas ke Jerman untuk menonton persembahan konsert mega Adele, isteri saya memang mengidam,” ujarnya.
Untuk rekod, Sufi dan Ain berkahwin pada 21
September 2019.
Ain dijangka bersalin 9 November depan di sebuah hospital swasta di Seri Kembangan, Selangor. – KOSMO! ONLINE