LIVERPOOL – Real Sociedad dilaporkan semakin bersedia menghadapi kemungkinan kehilangan pemain tengah berbakat, Martin Zubimendi kepada Liverpool selepas pemain itu dikatakan sedang mempertimbangkan tawaran menarik dari Anfield.
Laporan menyebut bahawa peluang untuk melihat Zubimendi berhijrah ke Liverpool semakin cerah dengan pemain tersebut mula tertarik dengan pendekatan yang dilakukan oleh The Reds di bawah kendalian pengendali baharu, Arne Slot.
Sebelum ini, Zubimendi pernah menyatakan hasratnya untuk kekal di San Sebastian untuk membantu Sociedad dalam saingan Liga Juara-Juara, namun tawaran besar dari Liverpool mungkin menjadi faktor yang sukar untuk ditolak.
Slot dikatakan sedang berusaha untuk memperkuatkan barisan tengah pasukannya dan Zubimendi kini menjadi sasaran utama selepas Slot dilaporkan berminat untuk menjadikan pemain Sepanyol itu sebagai tandatangan pertamanya di Anfield.
Zubimendi memiliki klausa pelepasan bernilai sekitar £51.5 juta (RM292.77 juta) sekali gus menjadikan perpindahan itu berpotensi menjadi perpindahan terbesar musim panas ini jika Liverpool bersedia memenuhi syarat yang ditetapkan.
Berdasarkan kontraknya yang masih aktif sehingga 2027 menjadikan keputusan untuk berpindah ke Anfield pasti akan menjadi tumpuan utama dalam jendela perpindahan musim panas ini. – AGENSI