KUALA LUMPUR – Rekod baik Kuala Lumpur City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur akhirnya tercalar apabila tewas 0-2 kepada Terengganu pada aksi ketujuh Liga Super, sebentar tadi.
Walaupun tewas, KL City yang dipalit isu deklarasi tidak tepat ketika memohon lesen masih mampu menjelmakan aksi positif apabila tidak memberikan tugas mudah buat Terengganu.
Terdahulu, aksi berlangsung agak seimbang dengan menyaksikan serangan kedua-dua pasukan lebih berpaksikan kepada kepantasan Haqimie Azim Rosli (KL City) dan Akhyar Rashid (Terengganu).
Akhyar menjadi antara pemain paling menyerlah apabila dilihat beberapa kali memperdayakan pertahanan lawan namun aspek penyudah sering menghadirkan kekecewaan buat pelawat.
Ketika aksi sudah pun memasuki masa tambahan, Manuel Ott berjaya menempatkan diri di kedudukan tepat untuk menyudahkan umpanan Azam Azmi Murad.
Memasuki minit ke-69, pelawat makin selesa apabila Safawi Rasid meledak gol kedua menerusi sepakan percuma.
Walaupun terus ditekan, tuan rumah seakan tidak mudah berputus asa dan masih mampu mencipta gerakan menarik tetapi sering kali dikecewakan oleh sentuhan penyudah. – KOSMO! ONLINE