PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA), Nafuzi Zain menyifatkan kealpaan benteng pertahanan yang hilang tumpuan membenarkan Johor Darul Ta’zim FC (JDT) mudah mencipta jaringan sehingga tewas 0-6 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.
Katanya, keputusan memalukan itu tidak menggambarkan persembahan sebenar skuad Kenari walaupun ‘tempang’ tanpa kehadiran beberapa pemain utama seperti Sony Norde, Faiz Nasir dan Sukhrob Nurullaev.
Pengendali berusia 45 tahun itu berkata, KDA bermain dengan baik dan ada ketikanya mampu menyaingi kehebatan JDT sehinggalah Bergson Da Silva melengkapkan hatrik menyebabkan permainan mereka mula menunjukkan penurunan.
“Dari segi keputusan, saya agak kecewa kerana ia tidak menggambarkan persembahan sebenar malam ini (kelmarin). Walaupun tanpa beberapa pemain utama, bagi saya, kita sudah bermain dengan baik di awal permainan.
“Pada babak kedua, kita masih bermain dengan baik apabila mampu mengatur gerakan dari bawah, cumanya sampai atas kita banyak hilang bola dan lawan ambil peluang melakukan serangan balas.
“Kesilapan kita lakukan ialah melepaskan gol yang sangat mudah, selepas ketinggalan 0-3, pemain tampak hilang fokus dan mula melakukan kesilapan. Kita perlu sedar apabila bertemu dengan JDT, kita tak boleh buat kesilapan dan kita pasti akan dihukum,” katanya.