KUALA LUMPUR – Kerajaan Kedah memaklumkan pihaknya membenarkan konsert diadakan di negeri itu namun penganjur perlu mematuhi syarat yang ditetapkan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dakwaan yang dilontarkan oleh beberapa pihak sebelum ini yang mengatakan negeri itu anti konsert adalah tidak tepat.
“Garis panduan ditetapkan untuk konsert di Kedah supaya tidak melanggar adat dan susila.
“Dahulu konsert perlu minta kebenaran pegawai daerah, sekarang konsert perlu mendapat pertimbangan Exco Kerajaan Negeri,” katanya kepada pemberita.
Tambahnya, penganjur juga perlu memilih masa dan artis yang sesuai serta tidak berpakaian menjolok mata.
“Nak buat persembahan di Kedah kena pakai elok-elok, artis lelaki mahupun wania tidak boleh seksi,” katanya.
Pada 2022, Kedah menghentikan kebenaran penganjuran konsert secara terbuka.
Pada Februari 2024, konsert hip hop di Alor Setar mencetuskan kontroversi kerana membabitkan kelakuan tidak sopan anak muda.
Pihak penganjur kemudiannya memohon maaf berikutan konsert tersebut tidak mendapat kebenaran kerajaan negeri.- KOSMO! ONLINE