fbpx

Jika mahu ke Thailand, sudilah bermalam di Kedah – Sanusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (tengah) pada Pelancaran Tahun Melawat Kedah 2025 di Menara Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto ihsan UPDA

ALOR SETAR – Rata-rata orang ramai yang mahu bercuti di Thailand didapati tidak singgah di Kedah meskipun banyak destinasi pelancongan menarik ditawarkan di negeri Jelapang Padi itu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keadaan itu membuatkan pihaknya tertanya-tanya mengapa masih ramai yang tidak menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan untuk mereka lawati.

“Mereka hanya lalu dan cop pasport di Bukit Kayu Hitam atau Durian Burung untuk ke Thailand. Banyak kereta dengan nombor plat Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan lalu di Kedah tetapi jarang ada yang singgah bermalam.

“Mereka tidak sabar-sabar hendak bermalam di Hatyai atau Songkhla,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Tahun Melawat Kedah 2025 di Menara Kuala Lumpur, malam tadi.

Kata beliau, salah satu tujuan pihaknya melancarkan Tahun Melawat Kedah 2025 dengan tema ‘Experience Kedah’ adalah agar lebih ramai singgah di Kedah.

“Ia adalah supaya warga Malaysia sama ada yang hendak ke Thailand atau tidak agar sudi bermalam di Alor Setar, Sungai Petani atau di mana-mana bandar di Kedah yang lebih ‘selamat’ dunia dan akhirat.

“Anda juga boleh melawat madrasah atau pondok-pondok pengajian Islam yang masih banyak di Kedah terutama di Sik, Baling, Yan, Pokok Sena dan Padang Terap. Bukan di Pattani atau Narathiwat sahaja ada pondok. Saya tahu banyak yang mahu ke Siam tadi nak ke Pattani dan Narathiwat, pergi (lawat) pondok juga,” ujarnya.

Sementara itu, kata beliau, ada kalangan mereka yang skeptikal apabila menganggap imej negeri pertanian menyulitkan Kedah untuk menjadi pilihan pelancong.

“Di bawah pentadbiran saya, kita tidak melihatnya begitu yang mana imej Jelapang Padi kita anggap satu kelebihan, bukannya kekurangan.

“Kita sepatutnya menggunakan kelebihan itu untuk membawa seramai mungkin pelancong menikmati keindahan bendang yang luas terbentang dan budaya hidup keluarga petani, menikmati air tangan mereka mereka di bawah tema pelancongan agro,” katanya.

Dalam ucapan sama, beliau turut menyifatkan orang Kedah juga menjadi salah satu keunikan kepada negeri itu.

“Keunikan Kedah terlalu banyak dan salah satunya ialah orang Kedah. Kalau tuan-tuan tak biasa jumpa, tuan-tuan dengar suara dia macam nak perang tetapi kalau jumpa sekali, tuan akan mula rasa sayang.

“Ini keunikan Kedah, serupalah saya pun bila orang tak kenal, orang maki macam-macam, sekarang ini banyak pula orang nak tangkap gambar. Saya bukan ikon pelancongan tau, saya Menteri Besar,” ujarnya.

Tambahnya, beliau membawa watak sebenar orang Kedah yang mempunyai kepelbagaian latar belakang dan budaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI