PETALING JAYA – Akaun Instagram ibu kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin kembali aktif setelah dinyah aktif pada Jun lalu.
Menerusi carian di platform media sosial, akaun Instagram Ismanira Abdul Manaf, 29, dilihat masih mengekalkan hantaran seperti gambar dan video seperti yang dimuat naik sebelum ini.
Akaun media sosial itu juga kekal dengan 51,100 pengikut dan tanda pagar ‘Justice4Zayn’ pada biografi profil.
Dalam hantaran terbaharu, Ismanira memuat naik video dia dan keluarganya hadir ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi perintah jagaan sementara adik Zayn Rayyan.
Hak jagaan sementara adik Allahyarham Zayn Rayyan diserahkan kepada nenek saudaranya bermula semalam selepas proses rundingan antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan peguam keluarga, Nurul Ikrimah Mohd. Raya dilakukan.
Ismanira sebelum ini kerap berkongsi mengenai anak-anaknya di platform TikTok dan Instagram sekali gus meraih perhatian ramai yang bersimpati dengan nasib wanita tersebut yang kehilangan anak istimewa.
Susulan kejadian malang yang menimpa Zayn Rayyan, 6, Ismanira turut meluahkan rasa rindu terhadap anaknya itu dan melawat kubur Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara.
Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari ditahan di Puncak Alam, Selangor pada 31 Mei lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 13 Jun lalu, pasangan tersebut didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu pada Disember tahun lalu.
Zaim dan Ismanira bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Zayn Rayyan ditemui di sebatang anak sungai pada 6 Disember tahun lalu sehari selepas dia dilaporkan hilang di Apartmen Idaman, Damansara Damai.
Laporan bedah siasat mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia akibat dibunuh ekoran terdapat kesan kecederaan pada leher dan badannya. – KOSMO! ONLINE