KUALA NERUS – Pengurusan sekolah diarah meningkatkan kawalan keselamatan bagi memastikan insiden serangan terhadap guru yang berlaku di Sekolah Agama Rakyat Kafa Ehsaniah, Petaling Jaya semalam tidak berulang.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, persekitaran sekolah perlu dipastikan sebagai kawasan yang selamat buat semua warganya termasuk guru, murid dan pelajar.
“Semua sekolah perlu dipastikan selamat untuk setiap warganya. Pengawal dan pentadbir sekolah bertanggungjawab meningkatkan kawalan keselamatan,” katanya selepas merasmikan Kempori Pengakap Madani peringkat kebangsaan di Teluk Ketapang di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan dua pendidik wanita termasuk Guru Besar Sekolah Agama Rakyat Kafa Ehsaniah cedera akibat diserang lelaki bersenjatakan pisau ‘rambo’.
Sementara itu, Fadhlina menyeru ibu bapa supaya memainkan lebih peranan dalam memantau pergerakan anak agar insiden remaja menyamar sebagai doktor di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang baru-baru ini tidak berulang.
Katanya, insiden tersebut amat mengejutkan kerana melibatkan seorang remaja berumur 14 tahun dan beliau percaya ia tidak akan berlaku dengan pemantauan ketat oleh keluarga. – KOSMO! ONLINE