PETALING JAYA -Selepas meledak isu yang didakwa menyindir pelakon Bella Astillah, ibu kepada penyanyi Aliff Aziz berterusan diserang netizen gara-gara tindakan yang disifatkan ramai sebagai bekas mentua toksik.
Terus menyekat segala komen berbaur negatif, Hafiza atau nama sebenarnya Siti Hafiza Basharahil secara sarkastik menyelar netizen supaya mendapatkan tidur yang cukup meskipun sedang galak menghentamnya tanpa mengira waktu.
“Seperti yang dijangka, cybertrooper tidak berbayar sudah mainkan peranan. Masya-Allah.
“Alhamdulillah tetapi jangan sampai tak tidur ya sebab sudah tiba masanya untuk saya sekat dan padam semua ‘kerja keras’ anda,” katanya menerusi sebuah hantaran dalam Instagram Story.
Hafiza juga menunjukkan mesej langsung (DM) yang diterima dengan rata-rata melayangkan kemarahan terhadap dirinya.
Sebelum ini, Hafiza berkongsi petikan ceramah Ustaz Azhar Idrus mengenai larangan anak-anak daripada berjumpa kedua ibu bapa mereka.
Hantaran tersebut dipercayai dimuat naik selepas bekas menantunya, Bella Astillah, 30, mengeluarkan kenyataan kepada media memberitahu dia mempunyai sebab tersendiri tidak membenarkan keluarga bekas suami berhubung dengan dua permata hatinya.
Tidak hanya berdiam diri, Bella memuat naik hantaran dalam Instagram miliknya pada Jumaat dan memohon agar ibu Aliff tidak lagi menyindir dengan memuat naik video-video sarkastik melalui media sosial.
Kata Bella, Hafiza menjadi punca dia membuat keputusan melarang anak-anaknya daripada bertemu dengan nenek dan datuk mereka itu.
Pada Julai lalu, Aliff, 33, dan Hafiza ada memuat naik beberapa hantaran dalam media sosial mengenai kerinduan mereka terhadap Ayden dan Ara.
Bella dan Aliff bercerai talak satu pada 13 Jun lalu selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.
Selepas melafazkan cerai, Aliff bersetuju memberikan hak penjagaan penuh dua anaknya iaitu Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4 tahun kepada Bella. – KOSMO! ONLINE.