fbpx

Eman Manan pesan, kalau makan musang king jangan lupa jemput

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Eman Mana bersyukur masih dikurniakan kesihatan yang baik pada usia 66 tahun. – SADDAM YUSOFF

PETALING JAYA – Jika pelakon seusianya mungkin sudah memperlahankan aktiviti seni, namun tidak bagi Eman Manan yang masih aktif mengerah kudrat dalam bidang lakonan.

Pada usia 66 tahun, pelakon yang memulakan langkah dalam bidang lakonan menerusi filem Matinya Seorang Patriot itu masih terus dihujani tawaran filem dan drama.

Menurut Eman atau nama sebenarnya Abdul Manan Embong, dia bersyukur kerana takdir hidupnya diatur cantik oleh Allah SWT kerana dikurniakan kesihatan yang baik.

“Bidang lakonan memerlukan orang yang sihat. Bila fizikal sihat, maka pemikiran juga sihat. Disiplin harus dijaga.

“Penyakit datang daripada tiga sumber. Pertama keturunan, kedua gaya hidup dan ketiga apa yang kita makan.

“Alhamdulillah tiada ubat yang perlu saya makan setiap hari. Saya boleh makan apa sahaja. Kalau ada yang buat jamuan sembelih kambing boleh jemput saya. Musim durian nak ajak saya makan pun boleh. Terutamanya musang king saya tak tolak,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana filem Takluk: Lahad Datu baru-baru ini.

Bercakap mengenai filem terbaru lakonannya tersebut, pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak tiga kali itu mengakui tertarik dengan skrip dan watak yang ditawarkan.

Dalam filem arahan Zulqarnain Azhar itu, Eman membawa watak antagonis sebagai Raja Iskandar yang merupakan ketua kumpulan pengganas.

“Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya turut mengikuti berita tentang peristiwa yang berlaku di Lahad Datu satu ketika dahulu. Masih tersemat di dalam ingatan saya tentang apa yang berlaku.

“Apabila ada sebuah produksi yang ingin membawa kisah ini ke layar perak, saya sangat berbesar hati untuk menerima tawaran yang diberikan. Filem ini menceritakan tentang salah satu peristiwa besar yang berlaku di negara kita.

“Biarpun watak ini adalah antagonis dan tidak banyak babak seperti watak lain, tetapi ia sangat penting. Watak ini juga berlainan dengan watak-watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini di mana saya sering diangkat sebagai wira, pejuang, ahli agama yang pada akhirnya membawa kejayaan,” ujarnya.

Selain Eman, filem terbitan Multimedia Entertainment dengan kerjasama Golden Screen Cinemas, Astro dan Sifxun Media itu juga turut dibintangi oleh Syafiq Kyle, Fikry Ibrahim, Kamal Adli, Anding Indrawani dan anak saudara Eman sendiri iaitu Fad Anwar.

Takluk: Lahad Datu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 Ogos sempena menyambut bulan kemerdekaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI