PETALING JAYA – “Saya ‘cover’ lagu TikTok sahaja bukan nak cabar siapa-siapa.”
Demikian kata penyanyi Mafarikha Akhir yang menjadi mangsa kecaman sebilangan peminat hanya kerana berbuat demikian.
Kata Mafarikha atau mesra disapa Mafa, peminat wajar lebih berhati-hati dalam pertuturan tanpa mengeji atau mencari kesalahan orang lain semata-mata demi mempertahankan artis kesayangan mereka.
“Kadang-kadang saya rasa jadi peminat pun kena ada adab. Saya faham awak suka tengok orang yang awak minat menyanyi dalam media sosial.
“Namun, lama-kelamaan, hormat dan adab sudah tiada dalam interaksi antara awak sebagai peminat dengan individu yang diminati.
“Tak faham kenapa ada segelintir peminat artis lain sangat defensif,” katanya menerusi hantaran InstaStory.
Hantaran tersebut dipercayai dimuat naik kerana ada segelintir pihak yang tidak suka Mafa menyanyikan semula lagu asal idola mereka dalam aplikasi TikToknya sekali gus meninggalkan pelbagai komen kurang manis.
Dituduh cuba menandingi penyanyi asal, wanita berusia 31 tahun itu meminta mereka yang mengecam agar bertenang kerana itu bukan tujuannya ketika berkongsi video menyanyi lagu ‘cover’ atau saduran.
“Cuba bertenang, sudah tentu siapa pun yang awak idolakan itu jauh lebih tinggi kejayaannya daripada saya.
“Setakat saya ‘cover’ lagu sikit-sikit, tak terjejas kedudukan idola awak. Tolong jadi peminat yang ada adab.
“Relaks, ini nak merentan dalam komen TikTok saya dah kenapa,” ujarnya.
Pelantun lagu Kabut Serangkai Mawar itu dilihat menyanyi dalam aplikasi TikTok sambil memegang alat kawalan jauh sebagai mikrofon.
Dia sering mendapat pujian pengikut disebabkan kelunakan suara serta kehebatan melontarkan vokal. – KOSMO! ONLINE