BEIJING – Seorang kanak-kanak perempuan berumur 9 tahun di wilayah Henan, China mendapat gelaran ‘Bintang Kung Fu Shaolin’ selepas menewaskan lebih 100 ahli kung fu paling elit di dunia, lapor portal berita Oddity Central.
Budak perempuan bernama Zhang Sixuan mencatatkan rekod itu pada kejohanan Sukan Shaolin Dunia 2024.
Selain memiliki fleksibiliti luar biasa, Sixuan juga menguasai teknik ‘tong zi gong’, membolehkan dia merangkul gelaran tersebut.
Daripada 124 pengamal kung fu Shaolin yang layak menyertai pertandingan tersebut, hanya 10 peserta dipilih sebagai pemenang.
Menurut jurulatihnya, pencapaian Sixuan tidak datang dengan mudah kerana dia bekerja keras selama bertahun-tahun.
“Dia tidak pernah merungut apabila perlu berlatih sehingga larut malam,” katanya.
Zhang Sixuan melalui beberapa uji bakat untuk melayakkan diri ke Sukan Shaolin Dunia 2024 dan bersaing dengan 124 ‘Bintang Kung Fu Shaolin Antara Benua’ dari 47 negara dan wilayah. – AGENSI