BACHOK – Seorang bayi perempuan berusia 16 bulan maut selepas motosikal roda tiga ditunggang bapa sepupunya yang berusia 12 tahun terjatuh ke dalam anak sungai sedalam tiga meter semasa bersiar-siar di Kampung Tok Belian, Tawang di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa, Mariam Afeeya Abdul Hakim meninggal dunia di lokasi kejadian kerana lemas di dasar anak sungai sebelum diselamatkan anggota bomba.
Bapa saudara mangsa, Zamri Mahadi, 36, berkata, sebelum kejadian, Mariam Afeeya bersama enam kanak-kanak lain iaitu dua abang dan sepupu termasuk tiga anaknya berusia 5, 7 dan 11 tahun menaiki motosikal roda tiga itu.
Menurutnya, bapa sepupu mangsa yang berusia 12 tahun yang merupakan anak kepada pengasuh Mariam Afeeya menunggang motosikal tersebut dan membawa kesemua kanak-kanak itu untuk bersiar-siar.
“Motosikal tersebut dipercayai terjatuh ke dalam anak sungai yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari rumah bapa saya atau datuk kepada Mariam Afeeya.
“Kanak-kanak lain yang duduk di dalam tempat duduk tepi motosikal itu berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan itu. Mariam Afeeya bagaimanapun tenggelam di dalam anak sungai itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumah bapanya di Kampung Pauh Sembilan, Tawang di sini hari ini.
Menurut Zamri, jenazah Mariam Afeeya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pauh Sembilan di sini kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.- KOSMO! ONLINE