fbpx

Azman dicari bantu siasatan kes kematian tiga sekeluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POLIS mengesan Azman (gambar) bagi membantu siasatan kes kebakaran melibatkan kematian ibu bapa serta anak saudaranya di sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, Muar.

MUAR – Polis menyiasat kejadian kebakaran yang meragut nyawa tiga sekeluarga di Kampung Sekolah Paya Redan, Pagoh semalam sebagai kes bunuh, melakukan khianat dengan api dan amendatangkan kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, susulan itu, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302, Seksyen 436 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Hasil bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak, Noradriana Nor Hasyim, 11, datuknya, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan neneknya, Ara Abdul Hamid, 76, mendapati ada unsur jenayah dalam kes kematian mereka.

“Siasatan polis di lokasi kejadian dan hasil bedah siasat ke atas mayat ketiga-tiga mangsa mendapati ada unsur jenayah.

“Polis sedang mengesan seorang lelaki bernama Azman Mohamed Nor, 48, yang beralamat terakhir di No. 33, Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan.

“Lelaki itu dipercayai melarikan diri selepas kebakaran berlaku dengan menunggang sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superinten Siti Rohayu Salih di talian 016-2199592 atau menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis daerah Muar bernombor 06-9564800 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi semalam, Noradriana bersama datuk dan neneknya maut selepas rumah yang didiami mereka dijilat api di Kampung Paya Redan.

Kejadian itu turut menyebabkan seorang lagi mangsa, Norazima Mohd Radhi, 14, yang merupakan cucu pasangan warga emas tersebut cedera di kepala.

Remaja perempuan tersebut kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI