MUAR – Sepasang suami isteri warga emas ditemui rentung, manakala seorang cucu mereka meninggal dunia selepas rumah didiami mereka di Kampung Paya Redan, Pagoh di sini hangus terbakar dalam kejadian awal pagi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa meninggal dunia ialah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan isterinya, Ara Abdul Hamid, 76, di dalam rumah kayu separuh kekal.
Cucu mereka, Noradriana Nor Hisyam, 11, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.
Kejadian malang itu turut menyebabkan seorang lagi cucu mereka, Norazima Mohd Radhi, 14, mengalami kecederaan pada kepala dan kini dirawat di hospital sama.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, PBK II Suhairuliar Saris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.25 pagi.
“Pasukan Keluar Operasi (PKO) dikejarkan ke tempat kejadian dan setibanya di lokasi kejadian benar berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 40X60 kaki terbakar 85 peratus.
“Terdapat dua warga emas rentung dan dua cucunya cedera sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz mengesahkan kejadian itu.
Katanya, pasukan bomba sedang melakukan siasatan untuk mencari punca sebenar kejadian itu. – KOSMO! ONLINE