PETALING JAYA – Tegas ketika bekerja, penyanyi Datin Alyah mendedahkan suaminya, Datuk Ramli MS sarat sisi penyayang yang terserlah ketika bersama anak angkat mereka, Nur Izzara.
Kata Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 43, biarpun sibuk dengan persiapan konsert, tanggungjawab rutin menyediakan susu buat puteri berusia tiga bulan itu tetap dilaksanakan tanpa culas.
“Jiwa bapa-bapa sebenar. Sesambil tulis taugeh-taugeh untuk konsert Datuk M. Nasir, botol susu anak tidak dilupakan.
“Tadi dah pesan dah jangan lupa buatkan susu Zara,” tulisnya dalam Instagram.
Penyanyi Kisah Hati itu turut memuat naik foto Ramli, 65, atau dikenali sebagai Tok Ram sedang bekerja dengan disebelahnya ada tin susu.
Gelagat maestro muzik itu mengundang pujian netizen yang menyifatkannya sebagai bapa contoh apabila ringan tulang menjaga si kecil.
“Luaran nampak garang tapi sebenarnya Tok Ram berjiwa penyayang. Moga Tok Ram, Datin serta baby hidup bahagia serta sihat-sihat selalu,” kata peminat.
“Inilah sisi lain Tok Ram, seorang komposer yang muka nampak garang tapi rupa-rupanya seorang yang penyayang dan boleh jaga baby,” tulis seorang netizen.
Pasangan terbabit menjaga Nur Izzara sejak dilahirkan, namun hanya berkongsi berita gembira itu bulan lalu.
Alyah mendirikan rumah tangga dengan Ramli pada 2013 namun mereka belum dianugerahkan zuriat.
Bagaimanapun, Ramli yang pernah berkahwin dengan pengarah acara muzik, Jennifer Thompson dikurniakan sepasang cahaya mata yang sudah dewasa. – KOSMO! ONLINE