LONDON – Strategi perpindahan Chelsea bukan sahaja memeningkan para peminat, tetapi beberapa bekas legenda pasukan itu juga turut keliru mengenai apa yang diinginkan pasukan itu pada jendela perpindahan kali ini.
Jendela perpindahan kali ini menyaksikan The Blues sudah menandatangani tujuh pemain dengan nilai hampir £97 juta (RM553.29 juta) sekali gus menyaksikan mereka sudah memiliki 44 pemain dengan kontrak profesional.
Dua daripada tujuh pemain baharu itu, hanya Tosin Adarabioyo dan Kiernan Dewsbury-Hall berusia di atas 22 tahun dan mereka semakin hampir untuk menyelesaikan urusan perpindahan Samu Omordian dari Atletico Madrid dengan nilai £30 juta (RM171.2 juta).
“Mereka mendapatkan pemain yang terlalu muda dan itu akan menjadi masalah. Tetapi, masalah itu bukanlah disebabkan pemain, tetapi mereka yang membawa pemain-pemain itu ke kelab ini.
“Sesetengah daripada mereka yang berada di kelab telah memberikan maklumat yang salah mengenai beberapa pemain kepada pemilik kelab dan sekarang mereka mencari penjaga gol. Ia akan menjadi sangat teruk di kelab ini,” kata William Gallas yang pernah beraksi untuk The Blues.
Gallas juga tidak memahami keputusan yang dibuat oleh Chelsea untuk mendapatkan khidmat penjaga gol Denmark,Filip Jorgenen yang menjadi penjaga gol senior ketujuh yang dimiliki kelab itu ketika ini.
Ketika ini, Chelsea memiliki Robert Sanchez, Djordje Petrovic dan Kepa Arrizabalaga, malah membuat keputusan membeli Jorgensen yang dianggap sebagai langkah kurang bijak oleh Gallas.
“Saya hilang kata-kata. Apa yang saya boleh katakan mengenai keputusan mereka mendapatkan penjaga gol baharu. Mengapa mereka melakukannya, untuk tujuan apa?,” jelasnya. – AGENSI