KUALA TERENGGANU – Seorang mekanik dikhuatiri lemas setelah terjatuh ke dalam Sungai Terengganu sewaktu sedang menguji sebuah jet ski berhampiran Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.
Mangsa, Abdullah A. Mubin, 44, yang juga pelumba jet ski profesional dikatakan terjatuh ke dalam sungai itu pada pukul 8 pagi.
Ketua Polis Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, lelaki tersebut dikatakan sedang membawa jet ski miliknya di dalam Sungai Terengganu berhampiran TTI.
“Jet ski dikemudinya dikatakan tiba-tiba terbalik menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai.
“Mangsa dikata cuba berenang ke tebing Sungai Terengganu untuk menyelamatkan diri, namun dilihat tenggelam tidak lama kemudian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, pasukan mencari dan penyelamat (SAR) melibatkan beberapa agensi telah ditubuhkan sebaik menerima maklumat berhubung insiden itu daripada orang awam yang menyaksikan kejadian.
Beliau berkata, setakat ini, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dilakukan 24 anggota SAR di sekitar lokasi kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE