fbpx

Olimpik Paris: Tebogo tewaskan Lyles kuasai 200m

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TEBOGO muncul atlet pertama Bostwana meraih pingat emas selepas menguasai acara 200m di Sukan Olimpik Paris. - AFP

PARIS – Impian pelari pecut Botswana, Letsile Tebogo untuk meraih emas di Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi kenyataan apabila dia mencipta kejutan muncul juara acara 200 meter (m) di stadium ikonik, Stade de France, Paris awal pagi semalam.

Lebih manis, Tebogo mengukir sejarah tersendiri apabila menjadi atlet pertama Botswana meraih emas di Sukan Olimpik sekali gus menamatkan penantian 44 tahun negaranya itu untuk menjelmakan kilauan emas di temasya sukan terbesar dunia itu.

Tebogo menjadi pelari Afrika pertama memenangi acara 200m dengan catatan masa 19.46 saat (s) selepas melakukan kejutan mengatasi pelari sensasi Amerika Syarikat (AS), Kenny Bednarek dan Noah Lyles. 

Kemenangan tersebut amat bermakna buat Tebogo kerana segala kejayaan yang dicipta adalah buat ibunya yang telah meninggal dunia pada Mei lalu pada usia 43 tahun.

Pada perlumbaan tersebut, pelari berusia 21 tahun telah ‘mengukir’ tarikh lahir ibunya pada kasut yang digunakan sebagai pencetus semangat buatnya sepanjang berjuang di Sukan Olimpik Paris 2024.

“Ini adalah cara saya membawa ibu sentiasa berada dalam setiap langkah yang saya ambil. Ia memberi saya banyak motivasi ketika memulakan larian di Sukan Olimpik Paris 2024. Saya tidak mahu meletakkan tarikh kematiannya kerana ia akan membuat saya sedih,” katanya.

Tebogo juga berkongsi bahawa dia hampir membuat pertimbangan untuk berhenti berlari dan mengambil masa kira-kira sebulan tanpa melakukan apa-apa selepas kematian ibunya kerana sukar untuk menerima perkhabaran buruk itu.

“Apabila saya mula-mula mendengar berita itu, saya fikir kerjaya saya sudah berakhir. Saya tidak berlari selama sebulan. Jika dia ada di sini, saya percaya dia mungkin menjadi salah seorang yang paling gembira di dunia ini,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI