PARIS – Pasukan India terlepas satu pingat emas berharga selepas atlet gusti wanita, Vinesh Phogat dibatalkan penyertaan apabila didapati terlebih berat sebanyak 150 gram ketika ingin bersaing dalam pentas final kategori 50 kilogram.
Walaupun Phogat berusaha keras dengan berlari, melompat termasuk tindakan menggunting rambut, tetapi ia tetap tidak berhasil sekali gus gagal melepasi kelayakan dan dibatalkan penyertaannya untuk mengambil bahagian pada aksi final.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, meluahkan ‘kekecewaannya’ melalui media sosial terutama atletnya yang berpontesi untuk meraih pingat emas buat negara itu gagal beraksi di pentas final.
“Vinesh, anda adalah juara dalam kalangan juara! Anda adalah kebanggaan India dan sumber inspirasi bagi setiap rakyat India. Kekalahan hari ini amat menyakitkan dan saya yakin anda akan bangkit.
“Sudah menjadi sifat anda untuk menghadapi cabaran demi cabaran. Kembali dengan lebih kuat dan kami semua akan menyokong anda,” katanya.
Phogat sepatutnya akan berdepan atlet Amerika Syarikat (AS), Sarah Hildebrandt. – AGENSI