KUALA LUMPUR – Bintang muda berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri memperagakan kayuhan terbaiknya apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada pusingan kelayakan acara pecut Sukan Olimpik Paris 2024 sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Saint-Quentin-en-Yvelines Velodrome tersebut, pelumba berusia 20 tahun itu memberikan aksi bertenaga selepas menamatkan aksi itu dengan catatan masa 10.709 saat (s) sekali gus mara ke pusingan 1/32.
Catatan terbaik itu sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan miliknya yang dilakukan pada Kejohanan Trek Berbasikal Asia (ACC) di Nilai tahun lalu dengan catatan 10.903s.
Nurul Izzah yang diberi julukan The Pocket Rocketwoman menamatkan aksi kelayakan di kedudukan ke-21 keseluruhan dan keputusan tersebut memadai kerana hanya 24 pelumba terbaik mara ke pusingan seterusnya.
Pelumba kelahiran Kedah itu berentap dengan Sophie Capewell dari Great Britain pada pusingan 1/32 tetapi tidak berupaya untuk menandingi pelumba berpengalaman tersebut yang sebelum ini memangi emas dalam acara pecut berpasukan.
Bagaimanapun, Izzah masih mempunyai peluang untuk melayakkan diri ke 1/16 tetapi perlu melepasi pusingan saringan repechage pusingan 1/32 yang berlangsung sebentar lagi.
Dalam pada itu, pelumba sensasi Jerman, Lea Friedrich mencipta sensasi apabila mencatat masa terpantas 10.029s dalam acara pecut sekali gus memadam rekod dunia 10.154s milik pelumba Kanada, Kelsey Mitchell.
Catatan masa terbaik itu juga membolehkan dia memadam rekod Olimpik miliknya sendiri 10.310s yang dilakukan sewaktu di Tokyo tiga tahun lalu. -KOSMO! ONLINE