PARIS – Hari cemerlang buat kontinjen Indonesia di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila meraih pingat emas kedua menerusi atlet angkat berat, Rizki Juniansyah yang memenangi kategori 73 kilogram (kg) lelaki kelmarin.
Atlet berusia 21 tahun itu melakar kejayaan cemerlang itu selepas melakukan angkatan keseluruhan 354kg selain memperbaharui rekod Olimpik dalam acara clean and jerk apabila mengangkat bebanan 199kg.
Sementara itu, pencabar terdekat, Weeraphon Wichuma dari Thailand merangkul pingat perak dengan catatan 346kg, manakala atlet Bulgaria, Bozhidar Andreev memenangi gangsa selepas melakukan angkatan 344kg.
“Saya sangat gembira dan bangga selain beremosi dengan kemenangan ini. Pingat emas pertama saya di Olimpik selain mencipta sejarah buat Indonesia. Terima kasih kepada semua rakyat Indonesia yang sentiasa memberikan sokongan.
“Tidak ada perkataan sesuai yang dapat menggambarkan perasaan saya pada ketika ini. Anda semua lihat saya menangis kerana ia merupakan pengalaman cukup istimewa dan saya sudah ada perancangan untuk masa depan,” kata Rizki.
Terdahulu, Indonesia meraih pingat emas pertama di Olimpik Paris menerusi Veddriq Leonardo yang muncul sebagai pemenang dalam acara mendaki selepas melakukan catatan masa 4.75 saat (s) yang merupakan catatan peribadi terbaik (PB).
“Saya sangat gembira kerana dapat menyumbang pingat emas pertama Indonesia di Paris. Pada awal saingan, saya rasa sangat gementar tetapi saya tetap fokus dan berjaya menamatkan saingan sebagai pemenang,” ujar Veddriq. – AGENSI