KUALA LUMPUR – Pemain golf profesional negara, Ashley Lau perlu bangkit pada aksi pusingan ketiga yang berlangsung pada pukul 3.55 petang hari ini terutama untuk memperbaiki kedudukannya selepas menamatkan saingan hari kedua semalam dengan prestasi kurang menyerlah.
Ashley yang membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024 itu memulakan aksi di Le Golf National dengan pukulan terbaik apabila meletakkan namanya di kedudukan ke-13 dengan mencatat par 72 di pusingan pertama.
Bagaimanapun, Ashley tidak berupaya untuk mengekalkan momentum ada pusingan kedua semalam apabila berkongsi kedudukan ke-40 bersama empat pemain selepas mencatat lima atas par 77.
Sementara itu, bintang golf Switzerland, Morgane Metraux mencuri tumpuan apabila tampil cemerlang dengan melakukan lapan bawah par 66 di pusingan kedua.
Ketika ini, pemain berusia 27 tahun itu mendahului dengan satu pukulan di depan Yin Ruoning dari China dan Lydia Ko dari New Zeland berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 5 bawah par 67. -KOSMO! ONLINE