fbpx

Naib Presiden Parti Gerakan didakwa pecah amanah wang persatuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH yang memakai pelitup muka keluar dari mahkamah selepas didakwa atas enam pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.

KUANTAN – Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan melakukan pecah amanah wang Persatuan Bola Keranjang Amatur Kuantan (KABA) berjumlah RM15,950.

Tertuduh, Yap Kim Heng, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Maimoonah Aid.

Mengikut kertas pertuduhan, Kim Heng sebagai seorang ejen iaitu Timbalan Pengerusi KABA didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta iaitu cek bernilai antara RM1,350 hingga RM4,200 milik Dai Sou Nasi Lemak sebagai bayaran sewa dengan menunaikan harta terbabit ke dalam akaun sendiri, isteri dan anaknya dan tidak dimasukkan ke dalam akaun persatuan tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara tahun 8 Mei 2018 hingga 15 Jun 2021 bertempat di RHB Bank Berhad, Jalan Air Putih, di sini.

Dalam prosiding Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Rifah Izzati Abdul Mutalif memohon mahkamah menawarkan wang jaminan sebanyak RM30,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Tertuduh yang diwakili peguam R. Balabedha memohon agar wang jaminan ke atas tertuduh dikurangkan berikutan tertuduh yang tidak bekerja dan hanya menerima elaun dari kerja-kerja terdahulu perlu menyara seorang isteri yang sakit dan seorang anak yang masih belajar selain tertuduh sendiri yang menghidap masalah jantung.

Balabedha memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM20,000 bagi setiap pertuduhan selain turut memohon agar pasport diserahkan kepada tertuduh berikutan tertuduh perlu menggunakan pasportnya bagi mendapatkan rawatan jantung di Singapura.

Hakim kemudian menetapkan wang jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan wang jaminan dikenakan sebanyak RM18,000 selain menetapkan dua syarat tambahan sebagaimama diminta pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 20 September depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI