fbpx

Mihas bawa lebih 9,000 syarikat tempatan ke pasaran global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penganjuran MIhas telah menaikkan nama Malaysia sebagai sebuah hab halal di pasaran antabangsa sekali gus menjadikan ia sebagai salah satu program bernilai tinggi untuk menarik pelabur masuk ke dalam negara. – gambar hiasan

PETALING JAYA – Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) telah berjaya membantu lebih daripada 9,000 syarikat tempatan untuk memperkenalkan produk ke pasaran antarabangsa.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Abu Bakar Yusof berkata, ini dilaksanakan menerusi program utama Mihas iaitu Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) yang bertujuan menghubungkan pembeli antarabangsa dengan pengeksport tempatan.

“Menerusi 46 pejabat cawangan di seluruh dunia, Matrade akan mengenal pasti pembeli berpotensi dan melakukan padanan perniagaan, membantu menggalakkan hubungan perdagangan antarabangsa sekali gus meningkatkan kedudukan Malaysia dalam pasaran halal global.

Abu Bakar Yusof

“Sehingga tahun 2022, Matrade telah berjaya membantu lebih dari 8,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta 5,586 pembeli antarabangsa menerusi platform INSP, dan mencapai lebih RM11 bilion jualan dalam aktiviti tersebut,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mihas 2024, yang bakal meraikan ulang tahun ke-20 penganjurannya di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 17 hingga 20 September ini disasarkan mampu mencapai transaksi jualan RM3.2 bilion.

Menampilkan tema ‘Mengglobalisasikan Inovasi Halal’, seramai 40,000 pelawat dan delegasi perdagangan dijangka hadir ke edisi MIHAS ke-20 tahun ini yang bakal menampilkan 2,000 reruai daripada 45 buah negara seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Abu Bakar menambah, dalam menjayakan inisiatif pengantarabangsaan Mihas, pihaknya juga bakal menganjurkan Mihas di luar negara buat kali pertama dengan pelancaran Mihas@Dubai dari 18 hingga 20 November 2024.

Jelasnya, meskipun penganjuran di luar negara memerlukan pelaburan yang signifikan termasuk kos logistik, pemasaran dan pengurusan acara, pihaknya percaya manfaat dari segi transaksi dan penembusan pasaran adalah berpadanan dengan usaha yang dilaburkan.

“Mihas@Dubai disasarkan untuk mencapai jualan sebanyak RM1 bilion, menunjukkan potensi besar bagi syarikat Malaysia menembusi pasaran antarabangsa​.

“Dijangkakan penyertaan 200 pempamer tempatan untuk penganjuran di Dubai nanti,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI