KUALA LANGAT – Daerah Kuala Langat bakal menjadi hab pengeluaran bawang ros merah di Lembah Klang, sekali gus mengurangkan kebergantungan import bahan makanan tersebut dari negara India.
Ia bakal direalisasikan dengan penanaman varieti bawang merah ros dari Indonesia secara besar-besaran di daerah ini, yang telah sedia popular dengan pelbagai hasil pertanian seperti cili merah.
Pengerusi Pertubuhan (PPK) Kuala Langat, Dr. Abdul Razak Khasbullah berkata, projek penanaman bawang ros merah seluas empat hektar itu julung-julung kali diadakan di daerah tersebut bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan.
“Projek perintis ini melibatkan kerjasama antara Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) sebagai pemilik tanah, dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang menyalurkan bajet kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
“Usahawan tani muda tempatan PPK Kuala Langat di Kampung Sungai Kelambu pula menjadi pelaksana projek.
“Kira-kira 800,000 benih bawang ros merah telah mula disemai sejak beberapa hari yang lalu,” katanya ketika ditemui pemberita sempena keberangkatan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ke Projek Perintis Ladang Bawang Dan Projek Fertigasi Cili Merah di Kampung Sungai Kelambu, semalam.
Abdul Razak berkata, sebanyak 10 tan metrik bawang ros merah dijangka dituai dalam masa 70 hari, melibatkan 20 pekerja.
“Insya-Allah, jika sasaran pengeluaran bawang ros merah berjalan lancar kita akan memperluaskan kawasan penanaman bagi memastikan ia mampu menampung keperluan penduduk,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE