PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 10,015 peket minyak masak bersubsidi bersaiz satu kilogram (kg) dalam serbuan di sebuah premis di Jeram, Selangor, Selasa lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan menerusi Ops Tiris 3.0 itu hasil risikan pihaknya bersama Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dilakukan pada pukul 2.30 petang.
“Hasil maklumat awal yang diperolehi, sindiket ini disyaki membeli minyak masak peket satu kg bersubsidi dan dikumpulkan di stor haram berkenaan yang beroperasi tanpa lesen sah untuk menyimpan barang kawalan.
“Minyak masak peket satu kg berkenaan seterusnya akan dipotong dan dipindahkan ke dalam tangki silinder serta dibotolkan semula sebelum dijual mengikut harga minyak masak bukan bersubsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut terhadap premis telah menemukan sebuah lori yang mengandungi muatan minyak masak peket satu kg, sebuah tangki silinder mengandungi hampir 4,000 kg minyak masak.
“Selain 128 bungkusan plastik minyak masak paket satu kg pelbagai jenama yang telah dipotong pembungkusnya,” ujarnya.
Azman berkata, sehubungan itu, pihaknya menyita 10,015 kg minyak masak, peralatan seperti gunting, pam penyedut minyak, hos getah dan dokumen perniagaan dianggarkan berjumlah RM64,567.50 bagi tujuan siasatan lanjut.
Beliau berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia 50-an yang dipercayai bekerja sebagai pemandu lori turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Selain itu, premis terbabit juga telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Perintah-Perintah Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE