GOPENG – Mangsa jenayah komersial yang melibatkan kesalahan penipuan, pecah amanah, pemalsuan dan jenayah siber mengalami kerugian RM143 juta setakat tahun lepas sehingga Julai tahun ini di negeri ini.
Ketua Polis Perak, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, jumlah kertas siasatan ialah 3,989 kes.
“Terdapat pelbagai kes penipuan masa kini iaitu phone scam, pembelian barang secara online, love scam, tipu pelaburan tidak wujud, tipu menyamar sebagai kenalan dan tipu pinjaman tidak wujud.
“Pencegahan awal sebelum menjadi mangsa penipuan ialah menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) dengan mendail 997 dengan segera, sebaik sahaja menyedari telah ditipu bagi pihak bank menyekat pengeluaran wang oleh suspek iaitu wang pengadu yang telah dimasukkan ke akaun suspek.
“Sebelum sebarang pembayaran dibuat boleh menyemak nombor akaun yang diberikan melalui laman web semak mule untuk mengetahui akaun yang diberikan itu, mempunyai rekod kes penipuan,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azizi berkata, terdapat 70 kes yang melibatkan jenayah di masjid dan surau di sekitar negeri ini bagi tempoh Januari hingga bulan lepas.
“Pecahan kes iaitu curi tabung masjid (49 kes), curi motosikal (10 kes), curi peralatan surau (10 kes) dan pergaduhan sebanyak emapt kes. Selain itu, pecah masuk masjid dan surau (2 kes), merusuh (1 kes) dan curi atau pecah cermin kereta melibatkan satu kes,” katanya.
Katanya lagi, polis turut memuji tindakan sebahagian besar pengurusan masjid yang memasang rakaman televisyen litar tertutup (CCTV). – KOSMO! ONLINE