ROM – Satu rakaman video menunjukkan detik kapal layar bernilai AS$140 juta (RM621.8 juta) milik balu pengasas Apple, Steve Jobs melanggar kapal mewah seorang bilionair Mexico, lapor portal berita MailOnline semalam.
Kapal layar dinamakan Venus sepanjang 78 meter itu adalah milik Laurene Powell Jobs, manakala kapal Lady Moura yang memiliki panjang 105 meter, menjadi kepunyaan bilionair Mexico, Ricardo Salinas.
Kedua-dua kapal bertembung semasa angin kencang bertiup di luar pantai Naples, Itali.
Kedua-dua kapal itu berlabuh ketika kejadian tetapi tidak mampu menghalang pelanggaran berlaku.
Insiden itu berlaku pada 22 Julai lalu selepas tiupan angin mencecah 101 kilometer sejam secara tiba-tiba, kata sumber anak kapal Venus.
Laurena tidak berada di atas kapalnya ketika kejadian.
Kapal Lady Moura pula bernilai sekitar AS$125 juta (RM552.6 juta). – AGENSI