PETALING JAYA – Bilangan penganggur pada bulan Jun 2024 terus menurun kepada 565,300 orang, dengan kadar pengangguran 3.3 peratus, menurut Jabatan Perangkaan hari ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, kedudukan tenaga buruh negara kekal dalam trend pertumbuhan positif dengan sedikit peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala penganggur terus menurun berikutan perkembangan kedudukan ekonomi.
Jelasnya, bilangan tenaga buruh terus meningkat pada Jun lalu dengan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.17 juta orang (Mei 2024: 17.15 juta orang) untuk mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) lebih tinggi pada 70.4 peratus (Mei 2024: 70.3 peratus).
“Bilangan penduduk bekerja pada bulan Jun terus meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.61 juta orang (Mei 2024: 16.58 juta orang).
“Sebaliknya, bilangan penganggur pada bulan tersebut turun sebanyak 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 565.3 ribu orang (Mei 2024: 566.1 ribu orang), manakala kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus seperti pada bulan sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Jabatan Perangkaan, pasaran buruh negara dijangka terus berada dalam momentum pertumbuhan stabil berikutan kedudukan ekonomi negara yang memberangsangkan, selain peningkatan ketibaan pelancong berterusan dan pertumbuhan yang lebih baik dalam semua sektor ekonomi. – KOSMO! ONLINE