fbpx

Isu tanah Jalan Duta implikasi serius kepada negara – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti semula undang-undang berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan memindah milik tanah seluas 106.542 hektar di Mukim Batu di sini kepada Semantan Estate Sdn Bhd (SESB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu tanah tersebut merungsingkan kerana tanah itu sebelum ini diambil untuk kegunaan awam dan badan kerajaan.

Kata beliau, walaupun kerajaan patuh dengan keputusan penghakiman yang telah dibuat, tetapi ia memberi implikasi yang sangat serius kepada negara.

“Hakim mungkin tertakluk kepada undang-undang yang ada. Saya akan cadangkan kepada Jemaah Menteri untuk melihat semula undang-undang ini.

“Ini kerana kalau prinsip ini digunakan, bagaimana tentang tanah-tanah rakyat yang dulu diambil sejak atau sebelum merdeka untuk tujuan kerajaan, kemudian diambil alih oleh sektor swasta atau sektor swasta yang beli tanah pertanian, kemudian minggu berikut tukar kepada tanah industri. Orang yang jual harga sangat rendah dan (pembeli) dapat sangat tinggi.

“Kalau semua guna kaedah prinsip yang ada sekarang (seperti) yang diputuskan mahkamah akan huru-hara negara. Itu sebab kita harus teliti semula,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan di sini hari ini.

Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu membenarkan permohonan pelikuidasi syarikat SESB untuk mendapatkan semula tanah di Jalan Tuanku Abdul Halim (sebelum ini dikenali Jalan Duta)

Tanah yang terletak di lokasi utama Jalan Duta itu antaranya menempatkan Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Mengulas berkenaan Tesla, Perdana Menteri menjelaskan, syarikat tersebut membatalkan rancangan mengembangkan operasi pengeluaran di rantau ini kerana gagal bersaing dengan kenderaan elektrik (EV) dikeluarkan syarikat dari China.

“Tengku Zafrul telah mendapat maklumat terkini… kerana mereka mengalami kerugian (disebabkan) tidak dapat bersaing dgn EV dari China. Jadi operasi mereka di Thailand besar, kita baru nak mula. Itu penerangan langsung daripada Tesla,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, terdapat pihak media tersalah tafsir ucapan beliau berkenaan pengukuhan ringgit sebelum ini.

“Rencana yang tidak lihat ucapan saya sepenuhya. Ucapan saya menyebut peningkatan… kadar peningkatan ringgit menyebabkan ringgit peningkatan terkuat di Asia, bukan versi ringgit kuat berbanding yen, dolar,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri dalam ucapannya meminta Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih tegas dan menyeluruh dalam ‘menerobos’ semua agensi badan berkanun bagi memastikan tidak berlaku pelanggaran tatakelola.

Ujar beliau, isu berkenaan tatakelola masih berlaku termasuk dalam kalangan pengurusan yang membabitkan lantikan politik, kumpulan profesional dan penjawat awam

“Kita lantik baik orang politik, profesional atau penjawat awam, asalkan dia ikut peraturan dan dipantau dengan teliti oleh Kementerian Kewangan (MOF), Ketua Audit Negara dan SPRM.

“SPRM dan Ketua Audit Negara diminta lebih tegas dan menyeluruh menerobos semua agensi dan kementerian selepas ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI