GEORGE TOWN – Kerajaan akan melancarkan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan (AI) Negara sebelum hujung tahun ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata, pada masa ini garis panduan berkenaan yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Digital berada pada peringkat akhir.
“Kita sudah sampai ke peringkat akhir dan dalam masa hujung tahun ini ia akan dilancarkan, ini kerana tempoh waktu yang ditetapkan adalah pada tahun ini kita perlu lancarkan garis panduan tersebut.
“Kami tengah dapatkan tarikh sama ada Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri yang akan lancarkan garis panduan ini,” katanya selepas melancarkan Hab Pendidikan Kecergasan Buatan (AI) Pulau Pinang, di Tech Dome, di sini hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Jagdeep Singh Deo.
Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, setakat ini garis panduan berkenaan masih belum dibentangkan kepada Kabinet.
“Kita akan bentangkan garis panduan ini kepada Kabinet terlebih dahulu sebelum ia dilancarkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Hab Pendidikan AI Pulau Pinang adalah yang pertama seumpamanya di negara ini dan pihaknya berharap model pembangunan hub berkenaan dapat dikembangkan ke negeri-negeri lain. – KOSMO! ONLINE