KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua bot nelayan Vietnam yang disyaki menceroboh perairan negara pada semalam.
Dua bot nelayan asing itu dikesan sedang leka menangkap ikan secara haram berhampiran zon ekonomi eksklusif negara pada pukul 3.30 petang.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, Kapal Maritim (KM) Rawa yang sedang melakukan rondaan penguatkuasaan telah terserempak dengan dua bot nelayan Vietnam tersebut pada kedudukan 355.58 kilometer dari timur laut muara Kuala Terengganu dekat ini.
“Pemeriksaan mendapati dua bot nelayan asing tersebut telah menaikkan hasil laut lebih satu tan.
“Kesemua 17 nelayan Vietnam berusia dalam lingkungan 23 hingga 50 tahun yang diperiksa didapati tidak memiliki permit kerja dan dokumen penjalanan yang sah,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Khairulanuar berkata, dua nelayan Vietnam tersebut juga tidak mempunyai kebenaran menangkap ikan di perairan negara daripada Jabatan Perikanan.
Tambah beliau, kesemua bot, peralatan menangkap ikan, minyak diesel dan hasil laut dianggar bernilai keseluruhan RM3 juta telah disita.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963,” katanya. – KOSMO! ONLINE