MANCHESTER – Manchester United kini memberikan tumpuan kepada pemain tengah Burnley, Sander Berge selepas usaha untuk mendapatkan Manuel Ugarte dari Paris Saint-Germain (PSG) menemui jalan buntu.
United menghadapi cabaran apabila PSG menetapkan harga £51.4 juta (RM293.19 juta) untuk Ugarte dan nilai itu enggan dipenuhi oleh The Red Devils menyebabkan mereka terpaksa mencari alternatif lain seperti Martin Zubimendi, Joey Veerman, dan Adrian Rabiot.
Pemain berusia 26 tahun yang mempunyai pengalaman beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL), dilihat sebagai pilihan ideal untuk mengisi kekosongan di bahagian tengah United selepas pemergian Sofyan Amrabat.
Pengalaman Berge dalam EPL memberikannya kelebihan berbanding calon lain yang sedang dipertimbangkan oleh United.
Burnley meminta £30 juta (RM171.12 juta) untuk pemain itu, namun United hanya bersedia membayar £20 juta (RM114.08 juta), tetapi rundingan akan menentukan sama ada Berge akan menyertai United selepas dia sendiri tertarik dengan prospek bermain di Old Trafford.
Terdahulu, engurus United, Erik ten Hag, sedang berusaha untuk menambah kekuatan di bahagian tengah skuadnya, terutamanya selepas terdapat ketidakpastian mengenai masa depan Scott McTominay yang menarik minat Galatasaray.
Di samping itu, Fulham telah membuat tawaran £20 juta (RM114.08 juta) untuk McTominay, namun ditolak oleh United yang menilai pemain itu pada harga £25 juta (RM142.60 juta). – AGENSI