PETALING JAYA – TIADA niat memutuskan hubungan antara anak dan bapa seperti didakwa, pelakon Bella Astillah menegaskan ibu Aliff Aziz sendiri yang merosakkan silaturahim dengan memilih menyindirnya secara terbuka.
Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabella Awang Astillah, 30, memaklumkan keluarga bekas suaminya itu juga tidak pernah memohon maaf, sebaliknya menyokong wanita yang memusnahkan rumah tangganya dengan Aliff.
“Kepada mak mentua saya, semasa buang saya dari kumpulan WhatsApp keluarga begitu sahaja tanpa dengar penjelasan, tidak tanya khabar saya dan anak-anak, siap nyahikut saya. Selepas itu anda boleh pula ikut perempuan yang sudah menjadi punca cucu anda kehilangan bapa?
“Dimanakah akal fikiran dan sifat kemanusiaan anda? Sindir saya setiap hari walaupun anda cakap itu adalah hantaran umum tetapi rakyat Malaysia cukup bijak, mereka sendiri tahu itu semua untuk saya. Saya telan semuanya.
“Sekiranya anak anda tidak berkomplot merancang perkara jahat semua ini tidak akan terjadi. Kami pasti boleh berpisah dengan cara baik.
“Sehingga hari ini tiada kata maaf daripada anda sekeluarga, perli saya dengan membuat video-video sarkastik melalui media sosial tentang kereta dan sebagainya,” katanya dalam Instagram.
Terkesan dengan kata-kata Fiza atau Siti Hafiza Basharahil ketika berbual menerusi panggilan video bersama anak sulungnya Ayden Adrean, Bella meminta diberi ruang supaya kesihatan mental permata hatinya tidak terjejas.
“Jadi, buat sementara waktu ini berilah kami ruang. Jauhkanlah diri kalian, cukup panggilan video pertama kalinya menjadikan saya takut sebab mak mertua cakap apa pada Ayden ketika itu?
“Allahu, abang tengok muka Ayden itu kesihannya muka dia risaukan daddy dia. Dia juga tertekan, masya- Allah Ayden sayang jangan risaukan daddy ya, dia okey insya-Allah Ayden hanya perlu doakan daddy sahaja’ (saya ada rakam video sewaktu panggilan video).
“Ayat-ayat macam ini hanya akan mengganggu fikiran budak kecil walhal dia tak fikir begitu. Kalau nak tahu, alhamdulillah mereka gembira sahaja sebab sudah terbiasa selalu dengan saya.
“Saya yang banyak uruskan mereka dari bayi sehingga pemilihan dan daftar sekolah, semuanya saya,” ujarnya lagi.
Tambahnya, tindakan memisahkan anak dengan bekas suami diambil buat sementara waktu demi menjaga ketenteraman kedua-dua permata hatinya.
“Bukan mudah untuk semuanya kembali seperti tiada apa-apa berlaku sedangkan mama dan anda sudah sepakat, jika ada perbalahan antara saya dan Aliff kalian tidak akan masuk campur supaya mudah untuk kedua belah pihak di masa hadapan menguruskan soal cucu.
“Namun, berlaku sebaliknya apabila anda sudah musnahkan semuanya. Akhir sekali, saya merayu jangan cakap saya gunakan anak-anak sebagai alasan.
“Saya menjaga kesihatan mental dan ketenangan anak-anak untuk membesar dengan baik dan positif. Saya pernah gunakan mereka dulu pun sebab bekas suami tetap tak balik rumah.
“Jangan risau, anak-anak tetap kenal bapa mereka. Saya juga tahu soal hukum memisahkan anak dengan bapa, saya tak pernah cakap nak pisahkan mereka, insya-Allah, satu hari nanti pasti akan baik baik sahaja,” ujarnya lagi.
Baru-baru ini, ibu kepada pelantun lagu Sayang Sayang itu berkongsi petikan ceramah Ustaz Azhar Idrus mengenai larangan anak-anak daripada berjumpa kedua ibu bapa mereka.
Semuanya tercetus selepas Bella memberitahu dia mempunyai sebab tersendiri tidak membenarkan keluarga bekas suami berhubung dengan anak-anaknya.
Sebelum ini, Aliff dan Fiza kerap memuat naik beberapa hantaran dalam media sosial mengenai kerinduan mereka terhadap Ayden dan Ara.
Bella dan Aliff Aziz berkahwin pada 9 September 2016 namun bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 13 Jun lalu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4. – KOSMO! ONLINE