fbpx

Amal lancar program umrah hargai kesetiaan GLC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jemaah umrah berasa sangat selesa menaiki penerbangan Amal ke Tanah Suci kerana mereka akan dilayan dan dibantu oleh kakitangan syarikat yang berpengalaman. – gambar hiasan

SEPANG – Amal by Malaysia Airlines (Amal) menyasarkan untuk membawa lebih daripada empat kumpulan jemaah umrah dalam tempoh sebulan bermula bulan ini melalui pelancaran program terbaharunya yang dijalankan secara usaha sama dengan beberapa syarikat bukan kerajaan (GLC) terpilih.

Amal adalah unit penerbangan haji dan umrah Malaysia Aviation Group (MAG) dan sejak diperkenalkan pada 2019, syarikat telah menerbangkan sejumlah 1.17 juta jemaah haji dan umrah.

Program umrah yang dijayakan bersama rakan strategiknya yang terdiri daripada empat pengendali umrah yang tersenarai dalam 10 syarikat terbaik dalam industri itu masa kini itu terdiri daripada MKM Ticketing Travel & Tours; Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd; Wira Saujana Travel & Tours Sdn. Bhd. dan KRS Travel Sdn Bhd.

Sehingga kini, terdapat lebih daripada 600 syarikat pengendali umrah di Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Amal, Muhammad Najmi Mansor berkata, program baharu ini bertujuan untuk menghargai kerjasamanya dengan beberapa rakan GLC terpilih yang telah menyokong dan setia bersama syarikat selama ini selain dapat mengeratkan hubungan baik yang terjalin selama ini.

“Pakej menarik ini turut ditawarkan kepada kakitangan MAG bersama ahli keluarga mereka.

“Kami memberi diskaun harga yang lebih murah daripada tawaran harga pasaran iaitu antara lima hingga tujuh peratus,” kata­nya pada sesi temubual bersama media di sini baru-baru ini.

Setiap kumpulan umrah tersebut akan disertai oleh kira-kira 40 hingga 45 jemaah yang akan dipimpin oleh mutawif berpengalaman serta petugas sokongan untuk melancarkan lagi perjalanan jemaah umrah ke Tanah Suci.

Muhammad Najmi menerangkan, pakej yang sama telah ditawarkan pada tahun 2017 dan permintaan terhadap pakej tersebut sangat menggalakkan daripada kumpulan sasaran kerana ia memiliki keistimewaannya berdasarkan pakej ekonomi pada harga berpatutan.

“Kelebihan untuk program terbaharu ini pula adalah tempoh perjalanan ke Tanah Suci lebih panjang selama 10 hingga 11 malam dan ia lebih berkonsepkan kepada pakej premium bertujuan untuk meme­nuhi permintaan pelanggan serta bersesuaian dengan misi syarikat untuk menghargai rakan GLC dan kakitangan MAG serta ahli keluarga mereka,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI