fbpx

10 hari dibiar lapar, tekan tubi 500 kali sehari – Mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishamuddin (dua kiri) bertemu dengan tiga rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan MHO daripada sindiket penipuan pekerjaan di KLIA Terminal 2, hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

SEPANG – Salah seorang warga Malaysia yang menjadi mangsa jenayah pemerdagangan manusia di Myanmar mendakwa pernah dibiarkan kelaparan kira-kira selama 10 hari.

Mao (bukan nama sebenar) dari Seremban, Negeri Sembilan berusia 30-an itu juga tidak dapat berdiri lama ketika ditemui bagi menceritakan pengalaman pahit dialaminya.

Bercerita pengalamannya, Mao mengakui pernah pengsan akibat didera teruk termasuk punggung dirotan 36 kali sehari jika gagal mendapatkan sebarang jualan yang ditetapkan.

“Kami juga dihukum buat tekan tubi sebanyak 500 kali dan sekiranya masih lagi tiada hasil jualan, didenda pula kena kerja teruk 16 jam sehari tanpa ada rehat cukup.

“Saya beberapa kali tidak diberikan langsung sebarang makanan 10 hari lamanya kerana gagal dapat buat apa-apa jualan ‘penipuan’ dalam talian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 hari ini.

Mao antara tiga mangsa yang diselamatkan oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Seorang lagi mangsa turut sayu mendedahkan kisah pengalaman pahit dirinya, Tien (bukan nama sebenar), 30-an dari Johor yang telah berada di Myanmar sejak lebih dua tahun lalu.

“Setiap hari dipukul dan kami juga tidak berani melarikan diri kerana kesemua pengawal bersenjata api walaupun ‘dijual’ banyak kali kepada beberapa sindiket berbeza,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tiga mangsa tersebut diselamatkan di Bavet, sebuah bandar raya terbesar wilayah Svay Rieng di tenggara Kemboja bersempadan Vietnam.

Usaha pembebasan mangsa di negara itu juga lebih mudah berbanding Myanmar kerana MHO mendapat kerjasama baik dari pihak polis tempatan dan Kedutaan Besar Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI