PETALING JAYA – Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri trending di media sosial X pada masa ini, susulan impiannya untuk melangkah ke pentas final 3 meter (m) papan anjal di Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi kenyataan apabila menamatkan saingan di tangga kelapan sebentar tadi.
Berdasarkan carian pada aplikasi X, Nur Dhabitah trending di Malaysia dengan lebih 18,000 perkongsian berkaitannya di platform tersebut.
Carian di media sosial Facebook pula, lebih 7,000 perkongsian dan hantaran berkaitan Nur Dhabitah dibuat pada platform tersebut.
Pelbagai komen dan maklum balas daripada pengguna dan antaranya berkaitan senyuman Nur Dhabitah pada aksi tersebut.
“Saya rasa Nur Dhabitah sepatutnya dapat markah tambahan untuk senyuman dia. Dia antara yang sentiasa tersenyum sepanjang perlawanan,” kata seorang pengguna X.
“Kita orang lagi jerit sorak sebab tengok Dhabitah senyum, comel, ‘cute’ nak mati dibandingkan dengan ‘persembahan’. Hahahaha,” kata pengguna X yang lain.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, dalam aksi di pusat akuatik Saint-Denis, Paris hari ini, atlet berusia 25 tahun itu mempersembahan aksi cukup baik pada terjunan pertama apabila berada di kedudukan kedua dengan meraih 67.50 mata.
Bagaimanapun, catatannya mata makin menurun pada terjunan kedua serta yang ketiga sekali gus meletakkan namanya di kedudukan ke-13 dan 15 dalam keadaan getir untuk menjadi 12 penerjun terbaik yang melangkah ke final.
Nur Dhabitah berjaya mengekalkan ketenangan untuk kembali bangkit pada terjunan terakhir dengan meningkatkan darjah kesukaran 3.1 dengan melakukan forward 3 1/2 somersaults untuk mengumpul 286.95 mata.
Kedudukan tangga kelapan keseluruhan yang diraih sudah memadai buat Nur Dhabitah untuk melengkapkan 12 penerjun ke final yang dijadualkan berlangsung malam esok.
Pada aksi final nanti, Nur Dhabitah berdepan tentangan sengit apabila dua penerjun China, Yiwen Chen dan Yani Chang turut menempah slot ke pentas final tersebut selain pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020, Maddison Keeney turut menempah slot ke pentas final. – KOSMO! ONLINE.