PUTRAJAYA- Kementerian Luar Negeri meminta rakyat Malaysia untuk menangguhkan semua perjalanan ke Bangladesh susulan krisis sukar diramalkan yang terjadi di negara itu ketika ini.
Susulan itu, Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sedang memantau rapat situasi di Bangladesh.
“Kementerian juga mengambil maklum pembentukan kerajaan interim Bangladesh bagi memastikan urusan pentadbiran negara dapat berfungsi seperti biasa.
“Warga Malaysia yang berada di Bangladesh adalah dinasihatkan untuk mendaftarkan keberadaan dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka serta sentiasa berwaspada, mengelak daripada berada di kawasan konflik dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya tadi.
Jelas kenyataan itu lagi, warga Malaysia juga dinasihatkan untuk berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sekiranya berlaku kecemasan.
Suruhanjaya itu boleh dihubungi menerusi alamat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka House No. 19, Road No. 6, Baridhara Diplomatic Enclave, Dhaka – 1212 People’s Republic of Bangladesh.
Mereka juga boleh dihubungi menerusi talian +880241081892 / 1895 dan + 88 018 4179 8077 untuk kecemasan sahaja atau emel di [email protected].
Terdahulu, pemimpin protes Bangladesh menjangkakan anggota kerajaan sementara diketuai pemenang Hadiah Nobel, Muhammad Yunus akan dimuktamadkan hari ini selepas Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletakkan jawatan sebelum melarikan diri ke India.
Presiden Bangladesh melantik Yunus sebagai ketua kerajaan sementara semalam bagi memenuhi permintaan utama pelajar.
Dalam perkembangan sama, sekurang-kurangnya 99 orang terbunuh, manakala 14 pegawai polis dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam pusingan terbaru protes di Bangladesh yang menuntut Sheikh Hasina meletak jawatan.
Mereka yang terbunuh akibat ditembak dan terkena letupan bom tangan yang dilontar oleh anggota polis untuk menyuraikan puluhan ribu penunjuk perasaan yang kembali ke jalanan. – KOSMO! ONLINE