IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mewujudkan Skim Bantuan Kebajikan Siswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi membantu golongan pelajar asnaf fakir miskin serta B40 yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup.
Menerusi skim tersebut, MAIPk menyerahkan bantuan berjumlah RM360,000 dipecahkan kepada lapan IPT di negeri itu yang memiliki Jawatankuasa Tabung Amanah Zakat (JKTAZ) masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, setiap IPT akan menguruskan sendiri dana bantuan tersebut untuk diagihkan secara tidak tetap kepada mana-mana pelajar yang memerlukan.
Lapan IPT yang menyumbang kepada pungutan zakat dan mempunyai JKTAZ menerima manfaat skim tersebut ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi MARA Seri Iskandar dan Tapah, Politeknik Ungku Omar (PUO) dan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS).
Tiga lagi ialah Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Kuala Lumpur RCMP (UniKL RCMP).
Pelaksanaan skim bantuan itu termasuklah penyaluran kepada pelajar berkelayakan sebagai wang saku atau sara diri dan seterusnya JKTAZ perlu menghantar laporan perbelanjaan kepada MAIPk.
Menurut majlis agama itu, perbelanjaan peruntukan zakat di bawah program pendidikan bagi tahun kewangan 2023 adalah RM34.9 juta. – KOSMO! ONLINE