PETALING JAYA – Sebuah pasukan sukarelawan terkejut apabila mendapati seorang warga emas wanita dipercayai dirompak individu tidak dikenali di kediamannya, baru-baru ini.
Dalam kejadian itu, warga emas tersebut yang tinggal seorang diri dikatakan diikat dan dibelit dengan kain pada leher dan mulutnya.
Perkara itu didedahkan sukarelawan Napsiah Khamis ketika dia bersama pasukannya datang menziarahi warga emas itu.
“Niat awal nak ziarah sahaja. rupanya nenek ini kene rompak dua hari sebelum kami datang. Nenek ini kene belit dengan kain dekat leher dan mulut dia,” katanya dalam hantaran video di aplikasi X, semalam.
Menurut Napsiah, pihaknya sudah memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa.
Dalam pada itu, berdasarkan video berdurasi hampir dua minit itu, warga emas tersebut dilihat masih trauma ekoran kejadian yang menimpanya.
Tambah Napsiah, warga emas berkenaan yang menetap di tingkat dua flat itu juga mempunyai masalah pergerakan selepas patah tulang pinggul akibat terjatuh.
“Nenek tak buka pintu, rupanya dia sendal pintu dengan meja berat. Kuatnya nenek sebab ketakutan,” jelas Napsiah.
Sementara itu, wanita warga emas itu berkongsi semula detik kejadian dan mengatakan bahawa dia tidak sedarkan diri selepas diikat.
“Aku ini miskin, kenapa (mereka) nak rompak aku. Selepas diikat, nenek jatuh pengsan,” ujar warga emas berkenaan.
Justeru, Napsiah menasihatkan orang ramai supaya sering melawat dan bertanya khabar kepada ahli keluarga yang berusia terutama yang menetap seorang diri. – KOSMO! ONLINE
Tak sangka 😰
Niat awal nak ziarah jer, rupanya nenek ni kene rompak 2 hari sebelum kami datang
Kami dah maklum pada pihak berkuasa ..
Untuk kita yg masih ada orang tua, selalu lah tanya khabar dan jengah mereka.
Nenek ni kene belit dengan kain kat leher dan mulut dia.. 😖😭😭 pic.twitter.com/8HUMDSYAlL— Napsiah Khamis (@NapsiahKhamis) August 6, 2024