BERLIN – Pasukan penyelamat sedang berusaha untuk mengeluarkan mangsa-mangsa yang terperangkap selepas sebahagian daripada sebuah hotel runtuh di barat Jerman.
Insiden itu meragut nyawa seorang dan menimbus lapan yang lain, kata pihak berkuasa hari ini.
Perkhidmatan kecemasan menyelamatkan seorang lelaki, seorang kanak-kanak dan dua wanita dari bangunan itu pada pagi ini, kata jurucakap polis kepada AFP.
“Mangsa yang meninggal dunia masih belum ditemui,” tambahnya.
Sebuah lantai hotel di Kroev, bandar kira-kira 110 kilometer di barat Frankfurt, runtuh atas sebab yang tidak diketahui sekitar pukul 11 malam (waktu tempatan) semalam.
Daripada 14 orang yang berada di dalam bangunan ketika itu, lima berjaya keluar.
“Sebahagian daripada mereka yang masih terperangkap cedera parah.
“Perkhidmatan kecemasan telah dapat menghubungi sebahagian daripada mereka tetapi operasi itu sukar kerana bangunan tersebut hanya boleh dimasuki dengan penuh berhati-hati,” kata jurucakap itu.
Tiga puluh satu penduduk dari kawasan kejiranan tempatan telah dipindahkan, manakala kira-kira 250 kakitangan mencari dan menyelamat sedang bekerja keras di tapak tersebut. – AFP