SEBERANG PERAI – Seorang warga emas terlantar meluahkan rasa syukur apabila MyKad miliknya yang hilang sejak setahun lalu diganti menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang.
Lebih istimewa, kad pengenalan Sabri Saad,67, diserahkan sendiri oleh Pengarah JPN Pulau Pinang, Shah Inor Shahbudin di kediamannya di Kampung Surau, di sini semalam.
Sabri berkata, beliau kehilangan kad pengenalannya itu ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital tahun lalu.
Katanya, pelbagai kesukaran dihadapi antaranya kegagalan mengeluarkan wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500.
“Lembaga Zakat Pulau Pinang (ZPP) ada juga datang melawat dan mahu membantu, namun meminta saya untuk memohon kad pengenalan baharu terlebih dahulu bagi memudahkan urusan bantuan dibuat,” katanya.
Sementara itu, Shah Inor berkata, Sabri adalah pemohon ke-100 yang dibantu dalam program MEKAR Ihsan bagi tahun ini. – KOSMO! ONLINE