fbpx

Rakyat Bangladesh berpesta, pemerintahan 15 tahun Sheikh Hasina berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENUNJUK perasaan menyerbu kediaman rasmi Sheikh Hasina di Dhaka kelmarin. - AFP

DHAKA – Rakyat Bangladesh keluar ke jalan-jalan raya untuk meraikan tumbangnya Perdana Menteri Sheikh Hasina yang melarikan diri ke India kelmarin, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Sheikh Hasina meletak jawatan selepas protes antikerajaan berlarutan selama sebulan dan merebak ke seluruh negara sehingga memaksa pemimpin berusia 76 tahun itu menamatkan pengaruhnya selama lebih dua dekad.

Sheikh Hasina meninggal Bangladesh atas faktor keselamatan dan dilaporkan mendarat di India kelmarin. Beliau dikatakan merancang untuk mencari suaka politik di Britain.

Rakyat yang gembira turun ke jalan-jalan raya untuk meraikan kejayaan mereka. Orang ramai turut menyerbu istana Sheikh Hasina dan menjarah perabot serta pelbagai barangan lain selain merosakkan kediaman rasminya sejak beliau menjadi Perdana Menteri pada 2009.

Kuasa rakyat yang membawa kepada peletakan jawatan Sheikh Hasina bermula daripada protes pelajar universiti yang membantah kuota satu pertiga jawatan dalam perkhidmatan awam diperuntukkan kepada keturunan veteran perang kemerdekaan Bangladesh.

“400,000 graduan baharu bersaing untuk cuma 3,000 jawatan dalam perkhidmatan awam di­sebabkan kuota ini menjadi pencetus kepada protes antikerajaan,” kata seorang felo penyelidikan kanan, Dr. Chietigj Bajpaee.

Menurutnya, protes menentang kuota itu mencerminkan kekecewaan belia terhadap pemerintahan satu parti yang menguasai Bangladesh sejak 15 tahun lalu.

Kebanyakan kuota itu telah dimansuhkan oleh kerajaan berikutan keputusan Mahkamah Agung pada bulan lalu.

Namun, pelajar universiti meneruskan bantahan mereka dan kali ini, menuntut keadilan bagi rakan-rakan mereka yang terbunuh dan cedera dalam pertempuran dengan polis sehingga memaksa Sheikh Hasina meletak jawatan.

Beberapa jam selepas peletakan jawatan Sheikh Hasina, Pre­siden Mohammed Shahabuddin mengarahkan pembebasan bekas Perdana Menteri, Khaleda Zia, 78, yang sebelum ini dipenjara 17 tahun pada 2018 atas kesalahan ra­suah.

Beliau mengarahkan semua pelajar yang ditahan semasa protes baru-baru ini dibebaskan.

Shahabuddin berkata, kerajaan sementara akan dibentuk, pilihan raya baharu bakal diadakan dan perintah berkurung akan ditarik balik.

Kelmarin, beberapa bangunan polis serta kerajaan turut di­serang dan dibakar.

Agensi berita AFP melaporkan, jumlah kematian dalam rusuhan kelmarin adalah seramai 66 orang walaupun akhbar tempatan, Dhaka Tribune menyebut angka korban adalah 135 orang.

Kira-kira 300 orang terbunuh sejak protes antikerajaan tercetus sebulan lalu kerana membantah sistem kuota itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI