SEREMBAN – Sebuah premis yang menjalankan aktiviti pembelian dan peleraian barangan terjadual serta barang lusuh di Sungai Gadut, Rantau, di sini, diserbu semalam setelah mendapat rungutan dari masyarakat setempat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kegiatan pembakaran terbuka berkenaan dikesan tahun ini dan terletak berhampiran dengan Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang, Seremban serta taman perumahan.
Menurutnya, hasil serbuan dan pemeriksaan mendapati, premis mempunyai kelulusan bagi perniagaan barang lusuh, namun aktiviti pembakaran terbuka serta peleraian itu bagaimanapun tidak mematuhi prosedur operasi standard.
“Pelupusan bateri dan sisa plastik yang tidak terkawal akan memberi kesan terutama air yang turun ke longkang akan mengalir ke Sungai Simin yang berhampiran dan sekaligus akan mencemar kualiti air,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, sampel barang terjadual dan sampel tanah telah diambil untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE